NEWSROOM

« Back

McDonald's Menjadi Syarikat Restoran Pertama yang Menetapkan Sasaran Berdasarkan Sains yang Diluluskan untuk Mengurangkan Pelepasan Gas Rumah Hijau

McDonald's Dijangka Menghalang Pelepasan 150 Juta Tan Metrik Gas Menjelang 2030


Share

OAK BROOK, Ill., March 21, 2018 (GLOBE NEWSWIRE) -- Hari ini, McDonald’s mengumumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan pemberi francais dan pembekal untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada restoran dan pejabat McDonald's sebanyak 36% menjelang 2030 bermula dari tahun dasar 2015 dalam strategi baharu untuk menangani perubahan iklim global. Tambahan lagi, McDonald's mengikat janji untuk mengurangkan keamatan pelepasan gas sebanyak 31% (per tan metrik makanan dan pembungkusan) di seluruh rantaian pembekalnya menjelang 2030 daripada tahap 2015. Gabungan sasaran ini telah diluluskan oleh inisiatif Sasaran Berdasarkan Sains(SBTi).

Melalui tindakan ini, McDonald's dijangka untuk menghalang pelepasan 150 juta tan metrik gas rumah hijau ke atmosfera menjelang 2030. Jumlah ini bersamaan dengan mengeluarkan 32 juta kereta penumpang dari jalan selama setahun atau menanam 3.8 bilion batang pokok dan membiarkannya membesar selama 10 tahun. Sasaran ini akan membolehkan McDonald's berkembang sebagai perusahaan tanpa meningkatkan pengeluaran gas.

“Untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk bumi, kita semua mesti melibatkan diri. McDonald’s memainkan peranannya dengan menetapkan matlamat untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau demi menangani cabaran perubahan iklim global,” kata Steve Easterbrook, Presiden dan CEO McDonald’s yang mengumumkan rancangan tersebut dalam video yang disiarkan oleh syarikat. “Untuk mencapai matlamat ini, kami akan membekalkan makanan kami secara bertanggungjawab, menggalakkan tenaga boleh diperbaharui dan menggunakannya dengan efisien serta mengurangkan sisa dan meningkatkan kitar semula.”

Untuk mencapai sasarannya, McDonald’s akan menjadikan rantaian pembekal, pejabat dan restorannya lebih inovatif dan efisien menerusi peningkatan seperti pencahayaan LED, kelengkapan dapur jimat tenaga, pembungkusan lestari, kitar semula restoran dan meningkatkan serta menyokong amalan pertanian lestari. Dengan kerjasama bersama ribuan pemberi francais, pembekal dan pengeluar, McDonald’s akan mengutamakan tindakan pada segmen jejak karbonnya yang terbesar: pengeluaran daging lembu, penggunaan dan penyumberan tenaga restoran, pembungkusan serta sisa. Gabungan segmen ini menghasilkan lebih kurang 64% pengeluaran gas global McDonald's.

Meneruskan momentum program sedia ada berkenaan hutan, pertanian dan penjimatan tenaga, McDonald’s dan rakan kongsinya akan terus mencari penyelesaian praktikal untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menskalanya. Dalam komitmennya terhadap ketelusan, McDonald’s akan mengembangkan sistem pengukurannya dan menyatakan kemajuan, cabaran dan matlamatnya setiap tahun.

“Kemajuan alam sekitar tidak berlaku sendiri, ia memerlukan usaha kita semua,” kata Fred Krupp, Presiden Dana Pertahanan Alam Sekitar. “Sebagai salah satu jenama terkenal di dunia, McDonald's berada di kedudukan yang mantap untuk memimpin dan sasaran iklim baharunya akan mengilhamkan inovasi, kerjasama dan yang paling penting, pengurangan gas rumah hijau di seluruh operasi dan rantaian pembekal global syarikat tersebut.”   

Usaha McDonald’s untuk memelihara bumi dan masyarakat telah menjangkau hampir tiga dekad, termasuklah penubuhan usahasama baharu dengan Dana Pertahanan Alam Sekitar (EDF) untuk pembungkusan dan pengurangan sisa. Lebih baru, pada tahun 2014, McDonald's mengeluarkan Pernyataan Pendirian Tenaga dan Iklim yang menetapkan pandangan syarikat tersebut terhadap pengambilan langkah usahasama yang berkesan bagi menangani perubahan iklim. Tambahan lagi, pada tahun 2015, McDonald’s membangunkan Komitmen Hutan yang menangani kesan rantaian pembekal pada pembasmian hutan. Tindakan ini mengukuhkan asas strategi iklim McDonald’s kerana pembasmian hutan menghasilkan 15% daripada pelepasan gas rumah hijau global. 

“Jejak McDonald's terdapat di seluruh dunia. Pengumuman mereka penting kerana ia menyatakan kesanggupan salah satu syarikat terbesar dunia, dengan keseluruhan sistem kedai makanan segeranya, untuk bertindak mengurangkan pelepasan gas secara signifikan berdasarkan sains. Tindakan tersebut juga bersesuaian dengan keputusan mereka untuk menyertai gerakan We Are Still In bersama ribuan syarikat lain di seluruh AS,” kata Carter Roberts, Presiden dan CEO Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) di Amerika Syarikat. “Walaupun usaha sektor swasta tidak dapat menyelesaikan krisis iklim yang dihadapi bumi kita sepenuhnya, pengumuman signifikan seperti ini dan usahasama seperti ini dalam menangani perubahan iklim mencipta momentum dan pergerakan ke arah skala penyelesaian yang kita perlukan.”

Pelancaran sasaran berdasarkan sains ini merupakan langkah terkini McDonald’s untuk membuat perubahan dan menggunakan Skalanya untuk Kebaikan.

“McDonald’s telah menghantar pernyataan yang kuat dengan menjadi restoran pertama yang menetapkan sasaran pelepasan gas rumah hijau berdasarkan sains. Para pemimpin McDonald’s memahami bahawa kita tidak perlu meningkatkan pelepasan gas untuk mengembangkan syarikat,” kata Andrew Steer, Presiden & CEO Institut Sumber Dunia (WRI), salah satu rakan inisiatif Sasaran Berdasarkan Sains. “Dengan bekerjasama dengan pembekal untuk mencipta dan menskala amalan pertanian yang lebih mampan dan mengurangkan sisa, McDonald's akan mengorak langkah yang lebih baik untuk francaisnya, pelanggan dan alam sekitar. WRI menggesa McDonald's mencari peluang tambahan untuk menyelaraskan model perniagaan dan rantaian nilainya dengan realiti dunia sumber terbatas. Kami sedia menyokong syarikat untuk mencapai matlamat yang akan menghasilkan pelanggan yang lebih sihat dan planet yang lebih mapan.”

Inisiatif Sasaran Berdasarkan Sains (SBTi) merupakan kerjasama antara WRI, WWF, CDP (sebelum ini dikenali sebagai Projek Pendedahan Karbon) dan United Nations Global Compact yang membantu syarikat menentukan jumlah pelepasan gas yang harus dikurangkan untuk membantu menangani perubahan iklim.

Berlandaskan sejarah yang lama dengan industri daging lembu, McDonald’s mengeluarkan matlamat 2020 untuk kemampanan daging lembu pada tahun 2017. Tindakan ini menjadi asas langkah seterusnya untuk bekerjasama dengan pengeluar daging lembu dan rakan kongsi industri untuk mengenal pasti, berkongsi dan menskala amalan pengeluaran daging lembu yang paling mampan secara proaktif. Pada tahun 2018, McDonald’s telah pun melancarkan matlamat pembungkusan dan kitar semula baharu dan mengukuhkan komitmennya untuk menyokong keluarga.

Perihal McDonald’s
McDonald's adalah peruncit perkhidmatan makanan global yang terkemuka di dunia dengan lebih daripada 37,000 lokasi di 120 pasaran di seluruh dunia. Lebih daripada 90 peratus restoran McDonald di seluruh dunia dimiliki dan dikendalikan oleh ahli perniagaan tempatan bebas lelaki dan wanita.

HUBUNGAN MEDIA

Terri Hickey, 773-655-3035
terri.hickey@us.mcd.com

 



Quick Facts